Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Siapa sangka pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia tahun ini memberikan impak yang sangat besar dalam kehidupan kita. Bukan saja sektor kesihatan, malah boleh dikatakan semua sektor turut terjejas sehinggakan hubungan antara pasangan pun turut sama terkesan.
Bagi yang merancang ingin melangsungkan perkahwinan pula, sudah semestinya perancangan anda kini menemui pelbagai halangan dan dugaan. Sehinggakan ada yang menganggap dugaan bertunang di dalam tempoh ini lebih mencabar dari biasa.
Sudah tentunya ada bermacam-macam persiapan yang perlu disiapkan menjelang majlis perkahwinan anda. Tetapi dengan situasi terkini yang membataskan pergerakan di luar, menyukarkan lagi bakal pengantin untuk membeli keperluan yang sepatutnya.
Ditambah pula dengan barang-barang hantaran, persiapan majlis, temu janji dengan perancang majlis dan sebagainya. Semuanya memerlukan anda untuk keluar bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk diselesaikan.
Lebih teruk lagi, jika anda tinggal di kawasan yang menerima arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana anda langsung tidak boleh keluar rumah. Belum masuk lagi isu baju kahwin yang belum selesai untuk sesi fitting kan? Memang memeningkan.
Bagi yang kurang bernasib baik, ada yang terpaksa dibuang kerja dan ditamatkan perkhidmatan gara-gara kegawatan ekonomi yang melanda. Sekaligus, menjejaskan rancangan anda untuk mengumpul duit bagi melangsungkan perkahwinan.
Bukan sahaja anda perlu kembali mencari kerja, kini segala perbelanjaan juga perlu dikurangkan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Solusinya, ramai bakal pengantin yang memilih untuk mengurangkan kos majlis dan hanya mengutamakan yang lebih penting sahaja.
Memang inilah cara yang terbaik buat masa ini ditambah dengan situasi semasa kerana akad nikah juga hanya dibenarkan di pejabat agama sahaja. Ada juga memandang positif dengan situasi ini kerana hanya perlu membelanjakan kos yang sedikit sahaja dan boleh menggunakan selebihnya untuk kehidupan selepas berkahwin.
Dugaan bertunang kali ini memang memerlukan kesabaran yang lebih tinggi lagi-lagi apabila majlis anda terpaksa ditangguhkan. Mungkin bukan hanya sekali tapi berkali-kali juga ditangguhkan kerana arahan PKP yang dilaksanakan.
Seperti yang semua sedia maklum, majlis perkahwinan tidak dibenarkan buat masa ini memandangkan ianya meningkatkan risiko penularan wabak ini. Segala rancangan kenduri-kendara secara besar-besaran terpaksa dibatalkan sebaliknya hanya akad nikah yang dibenarkan.
Sampaikan ada yang mula berasa tertekan dan stress kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk disatukan dengan pasangan. Pada masa ini lah pentingnya untuk anda saling memberikan kata-kata semangat buat pasangan. Situasi kini memang mencabar tetapi ini juga salah satu ujian untuk anda dan pasangan untuk sama-sama mengharungi dugaan ini.
Walaupun ada pelbagai kesukaran yang perlu anda tempuhi kini, percayalah pasti ini akan menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila. Buat bakal raja sehari, kami doakan anda dan pasangan terus kekal kuat dan sabar menunggu hari bersejarah anda tiba.